KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menghadiri Latihan Ujian Kemahiran Menembak dan Mengendalikan Senjata Api Pistol di Lapang Sasar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pagi tadi.
Program latihan rasmi itu turut melibatkan taklimat terperinci berhubung proses pembaharuan Lesen Jenis Pistol Kontinjen Sabah bagi sesi 2026/2027.
Menurut Nizam, latihan berkala seumpama itu bukan sahaja bertujuan memperkukuh kecekapan fizikal dan mental, malah penting bagi memastikan setiap pemegang lesen memahami tanggungjawab serta pematuhan undang-undang yang berkaitan.
“Selain meningkatkan kemahiran dan disiplin dalam pengendalian senjata api, program seperti ini turut memantapkan kesiapsiagaan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan penguatkuasaan lesen yang ketat,” katanya.
Sesi latihan berkenaan turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M Yahya; Pesuruhjaya Polis Sabah, YDH CP Datuk Jauteh Dikun; serta Ahli-Ahli Yang Berhormat Sabah.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah atas komitmen dalam menganjurkan sesi latihan tersebut secara tersusun dan profesional.
Beliau berkata, hubungan erat antara kepimpinan negeri dan agensi keselamatan merupakan asas penting dalam memastikan keamanan, keharmonian serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Sinergi yang kukuh antara barisan kepimpinan negeri dan agensi keselamatan adalah teras utama dalam mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat Sabah,” katanya.
Program itu turut membawa mesej kerjasama berterusan antara pasukan keselamatan dan masyarakat, selaras dengan semangat “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.