TAWAU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan berkesempatan menyambut ketibaan Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman di Lapangan Terbang Tawau hari ini sempena lawatan rasmi dua hari Tuan Yang Terutama ke daerah itu.
Ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah turut disambut para pemimpin setempat, pegawai kerajaan serta masyarakat pelbagai lapisan yang hadir bagi menunjukkan tanda hormat dan sokongan.
Menurut Nizam, kehadiran TYT Tun Musa Aman ke Tawau mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan negeri dan rakyat di daerah berkenaan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada TYT Tun Musa Aman atas kesudian hadir ke bumi peladang Tawau,” katanya.
Sejurus tiba, Tun Musa turut menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Kauthar Tawau.
Antara pengisian lawatan rasmi tersebut termasuk menghadiri Majlis Jamuan Teh serta penyampaian sumbangan kepada institusi kebajikan bersama kanak-kanak sempena Sambutan Ulang Tahun Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-75 yang dijadual berlangsung esok.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Mohd Ariffin Mohd Arif, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang serta barisan pemimpin dan pegawai kerajaan negeri.