Nizam sambut kunjungan Menteri Belia dan Sukan Malaysia ke Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyambut ketibaan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Johari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Ketibaan Menteri Belia dan Sukan Malaysia itu adalah sempena lawatan rasmi ke Sabah bagi meninjau perkembangan program pembangunan belia dan sukan serta memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Dalam pertemuan yang berlangsung di Bilik Sipadan, KKIA, kedua-dua pemimpin sempat bertukar pandangan mengenai hala tuju pembangunan belia serta kemajuan sukan di Sabah dan negara.

Nizam berkata, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan agenda pembangunan belia dan sukan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh serta memberi manfaat kepada generasi muda Sabah.

“Kami sempat berbual dan bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju pembangunan belia serta kemajuan sukan di negeri Sabah dan negara, khususnya untuk impak positif kepada belia Sabah,” katanya.

Beliau turut berharap sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus diperkukuhkan demi melahirkan komuniti belia dan sukan yang lebih mantap pada masa hadapan.

Turut hadir dalam sesi sambutan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), Datuk Mansur Haji Asun serta Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sabah, Noorman Ramlan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *