Andi Suryady rasmikan program kompos, galak komuniti urus sisa secara mampan

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady, merasmikan Program Smart Community: Pengurusan Sisa Makanan Secara Kompos @ Tawau 2026 yang diadakan di Taman Ria Height, dalam usaha menggalakkan amalan pengurusan sisa yang lebih mampan dalam kalangan komuniti pada 2 Mei lepas.

Program tersebut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai teknik asas penghasilan baja kompos daripada sisa makanan, sekali gus membantu mengurangkan pembaziran dan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.

Andi berkata, pendekatan seperti ini penting dalam membentuk kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga alam sekitar melalui kaedah yang praktikal dan mudah dilaksanakan di peringkat rumah.

“Latihan atau pengetahuan asas ini penting supaya masyarakat tahu bagaimana teknik menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan, bukan sekadar membuangnya begitu sahaja,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Kompos merupakan kaedah penguraian semula jadi bahan organik seperti sisa makanan, daun dan bahan biodegradasi lain untuk dijadikan baja yang kaya dengan nutrien. Selain membantu menyuburkan tanaman, kaedah ini juga mengurangkan pencemaran dan kebergantungan kepada baja kimia.

Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat terus diperkasa dan diperluaskan ke kawasan lain, sekali gus menjadi contoh kepada komuniti lain di Tawau dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *