Ucapan Penggulungan Nizam sentuh isu-isu kritikal

KOTA KINABALU – Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, YB Datuk Hj. Nizam DSP Hj. Abu Bakar Titingan menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan belia, sukan dan ekonomi kreatif semasa ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Penggal Kedua sesi ke-17.

Menurut beliau, kementeriannya akan terus memberi tumpuan kepada program pembangunan kepimpinan belia seperti Felo SMJ, DUN Belia dan Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) bagi memperkasa generasi muda di Sabah.

“Ucapan dasar yang disampaikan menjadi pendorong kepada kami untuk memperkukuhkan pembangunan belia serta menggerakkan ekonomi kreatif demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam sektor sukan, Nizam memaklumkan usaha akan dipergiatkan untuk meningkatkan kemudahan dan program pembangunan sukan, selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Sabah sebagai negeri sukan serta melahirkan atlet berprestasi tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau turut menekankan potensi ekonomi kreatif sebagai pemangkin kepada peningkatan taraf hidup belia, khususnya melalui penglibatan dalam industri seperti muzik, filem, kraftangan dan keusahawanan berasaskan kreativiti.

“Saya yakin industri ini bukan sahaja mampu merubah landskap kehidupan belia Sabah, malah berpotensi meningkatkan pendapatan negeri,” jelas beliau.

Mengulas isu peluang pekerjaan, Nizam menjelaskan bahawa masih terdapat banyak sektor di Sabah yang memerlukan tenaga kerja, termasuk perladangan, pembuatan dan pembinaan yang boleh dimanfaatkan belia.

Beliau menambah, kementeriannya juga akan terus memperluas inisiatif pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), latihan pensijilan serta kerjasama strategik dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran dan pendapatan belia, khususnya di kawasan luar bandar.

Ucapan penggulungan tersebut mencerminkan hala tuju berterusan kerajaan negeri dalam memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara inklusif dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah secara menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *