KOTA KINABALU, 23 April 2026: Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 berlangsung hari ini di Dewan Undangan Negeri, disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Aman.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata pembukaan penggal ini merupakan momentum penting untuk memperkukuh agenda pembangunan negeri.
“Persidangan ini menjadi ruang untuk kita terus memacu pembangunan demi kesejahteraan rakyat, khususnya dalam memperkasakan potensi belia serta merancakkan ekonomi kreatif di Sabah,” katanya.
Menurut beliau, persidangan DUN kali ini diharap dapat berjalan lancar serta menghasilkan perbahasan dan keputusan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya, memaklumkan bahawa sebanyak empat Rang Undang-Undang (RUU) dijangka akan dibentang dan dibahaskan sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 30 April ini.
Beliau turut menyatakan kemungkinan beberapa lagi RUU akan dikemukakan sepanjang persidangan tersebut.
Istiadat pembukaan yang berlangsung hari ini menandakan permulaan rasmi sidang DUN Sabah, dengan tumpuan kepada pelaksanaan dasar serta agenda pembangunan negeri yang lebih menyeluruh.