Nizam rasmi Program PPS, tinjau pembinaan masjid di Tawau

TAWAU, 18 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, hari ini menghadiri dua program berasingan di Tawau yang memfokuskan kepada aspek keselamatan pelajar serta pembangunan komuniti setempat.

Dalam acara pertama, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang berlangsung di Dewan SJKC Yuk Chin. Program tersebut merupakan inisiatif penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar melalui kerjasama strategik antara pihak sekolah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Nizam, pelantikan anggota PDRM sebagai PPS bagi setiap sekolah dilihat sebagai langkah proaktif dalam membina hubungan erat dengan komuniti pendidikan, selain berperanan sebagai pelindung dan pembimbing kepada pelajar.

“Pendekatan pencegahan awal terhadap gejala sosial amat penting bagi menangani isu disiplin, jenayah serta keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif memainkan peranan penting dalam menyokong pencapaian akademik pelajar, sebagaimana ditunjukkan melalui prestasi cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.

Dalam perkembangan berasingan, Nizam turut meluangkan masa meninjau tapak pembinaan Masjid Al Ghafur di Kampung Kinabutan Bukit, Batu 6, Jalan Apas.

Lawatan tersebut memberi peluang untuk menilai perkembangan projek yang kini telah mencapai kira kira 70 peratus siap, dengan anggaran dana sebanyak RM160,000 telah berjaya dikumpulkan setakat ini.

Beliau berkata pembinaan masjid bukan sahaja menyediakan kemudahan ibadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, penyebaran ilmu serta pembangunan sahsiah masyarakat.

“Usaha ini merupakan satu amal jariah yang besar dan perlu terus disokong oleh semua pihak demi manfaat jangka panjang kepada komuniti,” katanya.

Beliau berharap projek pembinaan tersebut dapat disiapkan dengan lancar serta terus mendapat sokongan berterusan daripada masyarakat setempat.

Kedua-dua program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan menyeluruh merangkumi keselamatan, pendidikan dan pembangunan komuniti selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *