KOTA KINABALU, 17 April 2026: Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) Ke-40 berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Sipadan Hall 1, Sabah International Convention Centre (SICC), malam tadi, menampilkan bakat seni visual tempatan dari pelbagai peringkat usia.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa Aman, sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 beliau.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata penganjuran KPTNS membuktikan potensi luar biasa anak-anak Sabah dalam bidang seni kreatif.
“Kita melihat bakat yang cukup mengagumkan, bermula seawal usia tujuh tahun hingga ke peringkat terbuka, sekali gus menunjukkan kekuatan ekosistem seni visual negeri,” katanya ketika menghadiri majlis perasmian dan penyampaian hadiah tersebut.
Menurut Nizam, pembangunan industri kreatif perlu terus diberi perhatian melalui penyediaan platform yang menyokong pertumbuhan bakat tempatan.
“Kementerian komited untuk memastikan bakat-bakat seni visual tempatan terus berkembang dan menyumbang kepada kemajuan Sabah,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang Kategori A, B dan C serta penerima Anugerah Khas Tokoh Seni Visual Sabah, sambil menyeru para penggiat seni untuk terus berkarya.
Penganjuran KPTNS dilihat sebagai salah satu platform penting dalam memperkukuh pembangunan seni visual negeri, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.