Pameran Khas Dirgahayu TYT dibuka, Nizam sifatkan dedikasi kepada rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 16 April 2026: Majlis Perasmian Pameran Khas Dirgahayu sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah berlangsung di Sabah Islamic Civilization Museum, hari ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata pameran tersebut merupakan satu penghargaan kepada rakyat untuk mengenali dengan lebih dekat perjalanan hidup serta sumbangan Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.

“Pameran ini adalah satu dedikasi buat rakyat Sabah agar dapat memahami lebih dekat jasa dan kepimpinan TYT dalam memayungi negeri ini,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk mempengerusikan penganjuran pameran tersebut, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada pengisian penting sambutan rasmi TYT tahun ini.

Menurutnya, kejayaan penganjuran majlis berkenaan adalah hasil kerjasama erat semua pihak, khususnya jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pameran ini dengan penuh komitmen dan semangat kebersamaan,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar TYT serta Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta terus menjadi payung naungan kepada seluruh rakyat Sabah.

Pameran khas ini dijangka menjadi tarikan kepada orang ramai untuk mendalami sejarah serta sumbangan kepimpinan negeri, sekali gus memperkukuh semangat kenegaraan dalam kalangan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *