Kenyataan Senator Filipina Hidupkan Isu Sabah Disifatkan Tidak Bertanggungjawab

KOTA KINABALU: Kenyataan berulang seorang senator dari Filipina, Robin Padilla, yang menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta bercanggah dengan prinsip kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim menegaskan bahawa Sabah merupakan sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat, dan kedudukannya tidak wajar dipersoalkan oleh mana-mana pihak luar.

Menurut beliau, cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan tenaga sebagai alasan untuk menghidupkan semula tuntutan lama adalah tidak berasas, malah dilihat sebagai usaha mengalih perhatian daripada masalah dalaman negara berkenaan.

“Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan isu negara lain. Kami menggesa Kementerian Luar untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan tersebut, sementara Kerajaan Persekutuan perlu terus memantau perkembangan ini bagi memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar kekal tenang dan tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan serta ketegangan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Keadilan Sabah, Ahmad Farid Sainuri, dalam kenyataan berasingan menyifatkan kenyataan Padilla sebagai tidak berpijak pada realiti semasa, selain dilihat cetek dalam memahami konteks krisis tenaga global.

Katanya, Sabah secara sah menyertai Malaysia pada tahun 1963 berdasarkan prinsip penentuan nasib sendiri yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

“Cubaan untuk menghidupkan semula isu ini hanya mencerminkan kecenderungan menggunakan sentimen nasionalis secara populis bagi meraih sokongan politik, tanpa mengambil kira kesan terhadap hubungan diplomatik antara Malaysia dan Filipina.

“Lebih penting, kedudukan Malaysia dari sudut perundangan antarabangsa telah pun dimuktamadkan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mempertikaikan perkara tersebut, sama ada melalui retorik politik atau propaganda, adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi menggugat kestabilan serantau.

“Kita menyeru semua pihak agar menghormati kedaulatan negara dan tidak menjadikan isu sensitif ini sebagai alat politik murahan. Fokus seharusnya diberikan kepada memperkukuh kerjasama serantau demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi.

Sebelum ini, Padilla dilaporkan melalui satu kenyataan di Facebook menggesa Manila bertindak lebih tegas untuk ‘menuntut hak’ yang didakwanya milik Filipina, termasuk cadangan menghantar wakil rasmi ke Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *