KOTA KINABALU, 14 April 2026: Sabah FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan bola sepak negeri apabila mara ke pentas akhir Malaysian Football League (MFL) Challenge Cup 2026, dengan aksi penentuan dijadual berlangsung pada 19 April ini di Stadium Likas.
Perlawanan akhir yang dimainkan secara timbal balik itu menyaksikan aksi pertama di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang berakhir dengan keputusan seri 1-1, sekali gus membuka peluang kepada Sabah FC untuk memburu kejuaraan di gelanggang sendiri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata pencapaian tersebut merupakan detik yang amat dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak negeri.
“Kita berharap Sabah dapat menjadi juara MFL Challenge Cup edisi 2026 ini dan sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan yang telah sekian lama,” katanya.
Dalam usaha menyuntik sokongan padu, kerajaan negeri melalui kementerian itu akan mengagihkan sebanyak 2,000 tiket percuma kepada penyokong secara ‘first come, first serve’.
“Ini adalah tanda sokongan kita untuk memastikan stadium dipenuhi dan memberi semangat kepada pasukan,” katanya, sambil memaklumkan pengagihan tiket akan dilaksanakan oleh urusetia di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah
Beliau turut menyeru penyokong agar hadir beramai-ramai memenuhi Stadium Likas yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan negeri.
Menurutnya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, dijangka turut hadir menyaksikan perlawanan akhir tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan bola sepak.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan pemberian bonus kepada Sabah FC sekiranya berjaya muncul juara sebagai penghargaan kepada pasukan.
Inisiatif tiket percuma ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menyemarakkan budaya bola sepak dalam kalangan rakyat, khususnya belia, di samping memperkukuh sokongan komuniti terhadap pembangunan sukan negeri.