Nizam beri semangat kepada Skuad Bola Sepak Wanita SUKMA Sabah

SELAYANG: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan hadir menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan acara bola sepak wanita SUKMA 2026 antara Selangor dan Sabah di Stadium Selayang, malam tadi.

Perlawanan tersebut menyaksikan Sabah tewas tipis 2-1 kepada tuan rumah, namun Nizam tetap menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen, semangat juang dan corak permainan yang dipamerkan skuad wanita Sabah sepanjang perlawanan.

Menurut beliau, kekalahan tipis itu tidak harus melemahkan semangat pasukan, sebaliknya perlu dijadikan pengajaran penting untuk memperkemas strategi menjelang aksi seterusnya.

“Walaupun keputusan memihak kepada tuan rumah dengan jaringan 2-1, saya amat berbangga melihat corak permainan yang baik serta komitmen luar biasa yang dipamerkan oleh srikandi bola sepak kita di padang,” katanya.

Selepas perlawanan, Nizam turut turun ke padang untuk bertemu pemain dan barisan kejurulatihan Sabah bagi memberikan kata-kata semangat kepada pasukan.

Beliau berkata, pertemuan itu penting bagi memastikan moral pemain terus berada pada tahap terbaik, khususnya ketika perjuangan kontinjen bola sepak wanita Sabah masih belum berakhir.

“Saya sempat turun ke padang untuk bertemu, bersemuka dan memberikan kata-kata semangat kepada para pemain serta barisan kejurulatihan negeri.

“Saya titipkan pesanan bahawa perjuangan belum selesai. Kekalahan tipis ini harus dijadikan azimat dan pengajaran penting untuk kita memperkemaskan strategi,” katanya.

Nizam turut mengingatkan skuad bola sepak wanita SUKMA Sabah agar terus mengekalkan fokus, memperbaiki kelemahan dan memastikan minda sentiasa positif bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Katanya, pasukan perlu bangkit dengan semangat lebih kuat dan tampil lebih tersusun untuk memburu kemenangan selepas ini.

“Kepada skuad bola sepak wanita SUKMA Sabah, kekalkan fokus, perbaiki kelemahan dan pastikan minda sentiasa positif.

“Perlawanan seterusnya menuntut kita untuk tampil lebih kuat, lebih jitu dan bangkit memburu kemenangan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong Sabah yang hadir memberikan sokongan padu di Stadium Selayang.

Nizam berkata, sokongan penyokong amat bermakna kepada pemain dan menjadi pembakar semangat kepada pasukan untuk terus berjuang membawa nama Sabah dalam temasya SUKMA 2026.

“Syabas juga diucapkan kepada para penyokong Sabah yang hadir memberikan gema sorakan padu di stadium malam tadi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *