Nizam, Fahmi bincang kerjasama perkasa ekonomi kreatif Sabah

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan mengadakan pertemuan bersama Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil, di Bangunan Parlimen, Isnin lepas.

Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama lebih erat antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), khususnya dalam usaha memperkasa sektor ekonomi kreatif.

Menurut Nizam, ekonomi kreatif mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, di samping membuka lebih banyak peluang kepada anak muda dan penggiat industri kreatif di Sabah.

Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk pembangunan bakat, pendigitalan, inovasi kandungan serta inisiatif strategik yang mampu memperkukuh keseluruhan ekosistem industri kreatif negeri.

“Antara fokus utama perbincangan ialah usaha memperkasa ekonomi kreatif sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang kepada anak muda Sabah,” katanya.

Nizam berkata, hubungan erat antara kementerian di peringkat negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan lebih banyak program, kepakaran serta peluang dapat disalurkan kepada penggiat industri kreatif di Sabah.

Pertemuan empat mata di antara Fahmi dan Nizam di Bangunan Parlimen.

Menurutnya, kerjasama strategik juga boleh membantu memperluas ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang dalam bidang seperti kandungan digital, filem, muzik, seni kreatif dan industri berasaskan teknologi.

“Kami turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan melalui program pembangunan bakat, pendigitalan, inovasi kandungan serta inisiatif yang mampu memperkukuh ekosistem industri kreatif di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, sektor kreatif perlu dibangunkan secara lebih tersusun agar mampu menjadi sumber pendapatan, peluang pekerjaan dan ruang keusahawanan kepada generasi muda.

Nizam turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama lebih rapat antara kedua-dua kementerian akan membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Saya percaya hubungan erat antara kedua-dua kementerian akan membuka lebih banyak ruang kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan belia dan penggiat industri kreatif di Sabah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fahmi atas kesudian menerima kunjungan dan mengadakan perbincangan mengenai potensi kerjasama tersebut.

“Semoga segala perancangan yang dibincangkan dapat diterjemahkan kepada pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada Sabah dan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *