Andi Suryady sertai Program Qurban bersama Pasukan Gerakan Am

KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady menyertai program qurban bersama Pasukan Gerakan Am sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H.

Program tersebut berlangsung dengan lancar hasil kerjasama dan semangat gotong-royong semua pihak, khususnya warga Pasukan Gerakan Am yang terlibat dalam menjayakan proses ibadah qurban serta pengagihan daging kepada penerima.

Menurut Andi, sambutan Aidiladha bukan sahaja menjadi medan untuk umat Islam melaksanakan ibadah qurban, tetapi turut menjadi ruang memperkukuh nilai kebersamaan, silaturahim dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Beliau berkata, semangat pengorbanan yang menjadi inti pati Aidiladha wajar diterjemahkan melalui amal kebajikan, sikap saling membantu dan kesediaan berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam yang menyambutnya. Dalam kemeriahan menyambut hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan amal kebajikan, menjaga silaturahim dan mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan,” katanya.

Andi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Pasukan Gerakan Am serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program qurban pada tahun ini.

Katanya, kejayaan program tersebut mencerminkan semangat kerjasama yang erat antara pasukan keselamatan dan komuniti dalam menghidupkan nilai kebajikan serta kemasyarakatan.

“Terima kasih kepada seluruh warga Pasukan Gerakan Am dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan ibadah qurban serta pengagihan daging.

“Semoga segala amal ibadah dan pengorbanan ini diterima serta diberkati Allah SWT,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar segala ibadah qurban dan amalan umat Islam pada Aidiladha kali ini diterima Allah SWT serta membawa keberkatan kepada keluarga, masyarakat dan seluruh umat Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *