SMJ Energy bidas dakwaan tidak berasas terhadap SAMUR

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd menegaskan bahawa penyertaan Kerajaan Negeri Sabah dalam projek Sabah Ammonia Urea atau SAMUR melalui pegangan ekuiti 25 peratus merupakan langkah strategik yang terus memberi pulangan kewangan konsisten kepada negeri.

SMJ Energy, yang merupakan syarikat pelaburan tenaga milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, berkata pegangan tersebut dibuat dalam PETRONAS Chemicals Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), syarikat yang memiliki dan mengendalikan kompleks SAMUR melalui perjanjian kerjasama komersial dengan syarikat minyak negara.

Menurut syarikat itu, sejak perjanjian berkenaan dimeterai, Sabah terus menerima pulangan kewangan secara konsisten hasil daripada penyertaan ekuiti strategik tersebut, termasuk dividen yang disalurkan terus ke dalam tabung negeri melalui SMJ Energy untuk manfaat rakyat Sabah.

“Dakwaan bahawa Sabah menerima kurang daripada apa yang sepatutnya daripada SAMUR adalah tidak berasas kerana ia mengabaikan usaha Kerajaan Negeri, terma komersial yang menguntungkan serta keputusan strategik yang berjaya memastikan Sabah memiliki pegangan dalam salah satu aset petrokimia terpenting di rantau ini,” kata SMJ Energy dalam satu kenyataan.

SMJ Energy berkata, SAMUR kini diiktiraf sebagai fasiliti urea berbutir single-train terbesar di Asia Tenggara dan loji urea ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik.

Menurut syarikat itu, projek yang dibina di bumi Sabah dan digerakkan oleh gas Sabah tersebut telah meletakkan negeri ini sebagai pemain penting dalam industri baja dan petrokimia serantau.

Kesan pembangunan SAMUR, katanya, turut melangkaui operasi loji berkenaan apabila Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang atau SOGIP, dengan SAMUR sebagai projek pemangkin, telah menarik pelaburan komited yang besar serta menjana peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

SMJ Energy berkata, limpahan ekonomi daripada pembangunan tersebut turut memberi kesan kepada sektor kejuruteraan, logistik, infrastruktur, perumahan, hospitaliti dan perkhidmatan teknikal, dengan potensi pertumbuhan yang dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Pembangunan ini mewakili pertumbuhan jangka panjang berasaskan lokasi yang semakin dirasai oleh komuniti di Sipitang dan kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.

SMJ Energy turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan terus meneroka pelaburan strategik dan memperkukuh kerjasama dengan PETRONAS serta pemain industri lain bagi memastikan sumber asli Sabah terus menjana nilai jangka panjang dan manfaat ekonomi mampan kepada rakyat negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *