Nizam terima kunjungan BSMM, SAMAS dan Persatuan Pickleball Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menerima kunjungan hormat daripada tiga organisasi berbeza di pejabat KBSK, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Kunjungan tersebut melibatkan delegasi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), barisan jawatankuasa Sabah Athletics Master Association (SAMAS) serta kepimpinan Persatuan Pickleball Negeri Sabah.

Menurut Nizam, pertemuan bersama BSMM memberi ruang kepada pihak kementerian untuk menghargai peranan penting pertubuhan itu dalam melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, misi bantuan serta kerja-kerja kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Delegasi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM)

Beliau berkata, komitmen BSMM yang sentiasa turun padang menyantuni golongan memerlukan merupakan usaha murni yang wajar terus disokong.

“Syabas dan tahniah kepada seluruh warga BSMM atas komitmen berterusan dalam menggerakkan pelbagai program kemasyarakatan dan misi bantuan.

“Usaha murni BSMM yang sentiasa mendekati masyarakat amat dihargai, dan saya menyokong penuh program-program kebajikan yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pertemuan bersama SAMAS pula, Nizam menzahirkan kekaguman terhadap semangat, kecergasan dan disiplin tinggi atlet-atlet veteran yang terus aktif dalam sukan.

Sabah Athletics Master Association (SAMAS)

Katanya, warga SAMAS membuktikan bahawa faktor usia bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan negeri, malah mampu menjadi contoh kepada generasi muda.

“Walaupun berada dalam kategori master, kecergasan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk kekal aktif.

“Saya berharap semangat warga SAMAS ini dapat menjadi role model kepada anak-anak muda Sabah untuk membudayakan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.

Nizam turut menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Pickleball Negeri Sabah yang memperkenalkan barisan Ahli Jawatankuasa baharu persatuan tersebut.

Persatuan Pickleball Negeri Sabah

Dalam pertemuan itu, pihak persatuan turut membentangkan takwim aktiviti serta pelan strategik bagi memperluas pembangunan sukan pickleball di Sabah, termasuk usaha mencungkil bakat tempatan dan menaik taraf fasiliti sukan berkenaan.

Beliau berkata, KBSK sentiasa menyokong usaha persatuan sukan dalam memperkasakan gaya hidup aktif, membangunkan bakat baharu serta memperluas akses rakyat kepada pelbagai jenis sukan.

“Pickleball merupakan antara sukan yang semakin mendapat tempat dan berpotensi berkembang di Sabah.

“KBSK akan terus menyokong usaha persatuan sukan yang mempunyai perancangan jelas untuk membangunkan bakat, memperluas penyertaan dan memperkukuh ekosistem sukan negeri,” katanya.

Nizam berkata, siri kunjungan hormat itu mencerminkan hubungan baik antara KBSK dengan badan kebajikan, persatuan sukan dan komuniti yang memainkan peranan penting dalam membina masyarakat lebih aktif, prihatin dan berdaya saing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua delegasi atas perkongsian pandangan, idea serta komitmen dalam membantu memperkukuh pembangunan belia, sukan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *