Nizam tekankan peranan sukan dalam melahirkan generasi Sabah berdaya saing

GOMBAK: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan menyempurnakan Majlis Penutupan Sukan Anak-anak Sabah 2026 anjuran Ikatan Pelajar Sabah yang berlangsung di Mini Auditorium, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, semalam.

Program tersebut menghimpunkan mahasiswa Sabah di perantauan melalui pelbagai acara sukan termasuk futsal, badminton, bola tampar dan e-sukan sebagai platform memperkukuh perpaduan serta pembangunan sahsiah generasi muda.

Menurut Nizam, sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi medium penting dalam membina karakter, disiplin serta ukhuwah dalam kalangan anak muda Sabah.

“Sukan adalah medan terbaik untuk membina karakter, disiplin dan ukhuwah. Inilah pelaburan terbesar kita dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja hebat di gelanggang, tetapi juga berintegriti untuk masa depan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Beliau turut menegaskan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri sukan yang disegani melalui pembangunan sukan yang lebih menyeluruh dari peringkat akar umbi hingga ke tahap lebih tinggi.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri terus memberi perhatian besar terhadap pembangunan pendidikan dan belia, termasuk melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

Menurutnya, seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat BKNS dari tahun 2021 hingga 2024, manakala peruntukan bagi tahun 2025 telah ditingkatkan sehingga mencecah RM136 juta.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa percaya bahawa pelaburan terbesar untuk masa depan Sabah adalah pelaburan kepada anak muda,” katanya.

Beliau turut mengajak mahasiswa Sabah di perantauan untuk menjadi ejen perubahan dalam komuniti masing-masing melalui penglibatan aktif dalam sukan, kepimpinan dan pembangunan masyarakat.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Ikatan Pelajar Sabah serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan program tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *