Nizam hadiri tiga majlis Aidilfitri di Apas, perkukuh hubungan akar umbi

TAWAU, 19 April 2026: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, menghadiri tiga majlis sambutan Aidilfitri berasingan di kawasan Apas yang disifatkan sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan antara kepimpinan dan masyarakat setempat.

Majlis pertama berlangsung di Dewan Mini Kampung Kinabutan Bukit, Batu 6 Apas yang diadakan sebagai sambutan Aidilfitri serta kenduri kesyukuran bagi menghargai peranan jentera yang telah menyumbang kepada kejayaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu.

Menurut Nizam, program seumpama ini penting bagi memastikan hubungan silaturahim terus diperkukuh serta aspirasi masyarakat dapat disampaikan dengan berkesan.

Dalam acara berasingan, beliau bersama isteri, Datin Hajah Wahida Mardiana Norsalim, turut menghadiri Majlis Hari Raya Sekampung anjuran PDM Kampung Inderasabah yang berlangsung dalam suasana meriah dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan nyanyian dan cabutan hadiah.

Beliau berkata majlis tersebut bukan sahaja meraikan Aidilfitri, tetapi menjadi wadah penting dalam memperkukuh ukhuwah serta semangat kebersamaan antara kepimpinan dan penduduk setempat.

Sementara itu, Nizam turut hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kenduri Kesyukuran di PDM Titingan, yang menjadi platform untuk beliau menyantuni jentera akar umbi dalam suasana penuh kekeluargaan.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengajak hadirin menghadiahkan bacaan Al Fatihah kepada Allahyarham Tuan Haji Mahamud Sakti, mantan Ketua PDM Titingan yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Bahagian PGRS N68 Apas.

“Majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama kita, tetapi menjadi asas kepada kekuatan bersama dalam memacu kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Kehadiran beliau dalam ketiga-tiga program tersebut mencerminkan komitmen berterusan untuk mendekati masyarakat di peringkat akar umbi serta memperkukuh perpaduan komuniti selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *