KOTA KINABALU, 19 April 2026: Sabah FC menamatkan penantian panjang dengan menjulang kejuaraan MFL Challenge Cup 2026 selepas menewaskan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Stadium Likas, malam tadi.
Perlawanan akhir yang berlangsung dalam suasana penuh debaran itu berakhir tanpa jaringan sehingga ke masa tambahan, sebelum Sabah FC memastikan kemenangan menerusi aksi dramatik sepakan penalti di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik bermakna buat bola sepak negeri.
“Kejayaan ini amat bermakna selepas penantian yang panjang untuk melihat Sabah kembali menjulang trofi dalam saingan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, perlawanan akhir itu memperlihatkan ketahanan mental, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sehingga ke penentuan sepakan penalti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong yang memenuhi Stadium Likas dan memberikan sokongan padu kepada pasukan.
“Sokongan tidak berbelah bahagi ini menjadi antara faktor penting yang menyuntik semangat kepada pasukan di saat-saat genting,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Sabah FC dan mengumumkan pemberian bonus kemenangan sebanyak RM500,000 kepada pasukan.
Selain itu, Nizam turut memaklumkan bahawa kementeriannya akan menyalurkan insentif tambahan sebanyak RM200,000 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian tersebut.
“Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak negeri serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus aktif dalam sukan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus komited menyokong pembangunan sukan bagi melahirkan lebih ramai bakat berpotensi dari Sabah selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.