Isu kuota petrol pengusaha bot Sebatik dibangkitkan, MP Kalabakan cari penyelesaian

KALABAKAN, 18 April 2026: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, mengadakan sesi perbincangan bersama pengusaha bot dari Pulau Sebatik bagi meneliti isu kuota bekalan petrol yang memberi kesan langsung kepada operasi harian mereka.

Menurut beliau, pertemuan tersebut menjadi platform untuk mendengar sendiri pandangan, cabaran serta cadangan daripada pengusaha yang terkesan dengan kekangan bekalan bahan api.

“Kita memahami isu ini memberi kesan kepada sumber rezeki harian, dan perkara ini perlu ditangani dengan pendekatan yang adil serta praktikal,” katanya.

Turut hadir dalam sesi tersebut wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Rosli, serta pegawai Parlimen Kalabakan, Husni.

Andi berkata isu berkenaan akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan bagi memastikan satu penyelesaian yang menyeluruh dapat dicapai demi kelangsungan operasi pengusaha bot serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan isu isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya di kawasan perbatasan seperti Pulau Sebatik.

Perbincangan tersebut dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan suara komuniti setempat didengari dan diambil tindakan secara berkesan oleh pihak berkaitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *