KOTA KINABALU, 17 April 2026: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) mempergiat perancangan Sambutan Hari Belia Negeri Sabah 2026 dengan memilih Tawau sebagai tuan rumah Karnival Belia Sabah yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini.
Menteri KBSK, Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk yang dipengerusikannya di sini pagi tadi, dengan sasaran penyertaan seramai 10,000 belia dari seluruh negeri.
Menurut beliau, penganjuran di Tawau dilihat mampu membawa kemeriahan sambutan ke wilayah Pantai Timur Sabah, sekali gus memperluaskan impak program pembangunan belia ke kawasan luar ibu negeri.
“Karnival ini bertujuan memperkasakan ekosistem belia yang aktif di Sabah dengan menyediakan pelbagai platform untuk mengetengahkan bakat dalam bidang sukan, inovasi dan ekonomi kreatif,” katanya.
Beliau menambah, antara fokus utama penganjuran kali ini adalah memacu ekonomi kreatif dalam kalangan belia, khususnya dengan membuka ruang kepada usahawan muda tempatan untuk berkembang dan memperluaskan jaringan mereka.
“Program ini juga merupakan satu bentuk pelaburan sosial dalam melahirkan generasi belia yang berilmu, proaktif dan mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan penyelarasan pengisian program merangkumi aspek kepimpinan, ekonomi, inovasi serta gaya hidup sihat, selain penyertaan kontinjen Sabah ke Sambutan Hari Belia Negara 2026 di Negeri Sembilan.
Turut hadir Pembantu Menteri KBSK, Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu; Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Hj. Asun; serta Presiden Majlis Belia Sabah, Abqaree Fawwaz Abekan bersama pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.
Penganjuran Karnival Belia Sabah 2026 dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan belia secara menyeluruh selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.