Andi Suryady pelawa usahawan Kalabakan sertai Taklimat E-Invois HASiL

KALABAKAN: Ahli Parlimen Kalabakan, Andi Suryady, mengajak para usahawan, peniaga dan masyarakat sekitar Parlimen Kalabakan untuk menyertai Program Taklimat E-Invois Bil.17/2026 yang dianjurkan oleh Unit Pendidikan e-Invois HASiL Sabah (Tawau) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan.

Menurut beliau, program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman kepada peserta mengenai pelaksanaan sistem e-Invois yang kini menjadi sebahagian daripada agenda pendigitalan ekonomi negara.

Katanya, usaha seperti itu penting bagi memastikan golongan usahawan dan peniaga tempatan lebih bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan sistem pengurusan perniagaan yang lebih moden dan sistematik.

“Program ini memberi peluang kepada peserta mendapatkan penerangan secara terus daripada pihak HASiL berkaitan pelaksanaan e-Invois serta perkara-perkara yang berkaitan,” katanya.

Taklimat tersebut akan diadakan pada 20 Mei 2026 (Rabu), dari jam 10 pagi hingga 12.30 tengah hari di Bilik Mesyuarat Lembah Danum, Pejabat HASiL Tawau.

Penyertaan adalah percuma namun terhad kepada 50 peserta sahaja.

Andi turut menggalakkan para peniaga dan usahawan di kawasan Kalabakan supaya merebut peluang itu bagi meningkatkan kefahaman terhadap perkembangan ekonomi digital semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *