Kerajaan Sabah Arah Siasatan Segera Isu Gambar al-Quran Dihina di Media Sosial

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan segera susulan penularan gambar memaparkan al-Quran dipijak serta diconteng dengan unsur tidak senonoh di media sosial, yang dipercayai melibatkan individu dari Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama negeri, Mohd Arifin Mohd Arif, menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menghina agama Islam.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampau dan tidak boleh diterima, kerana bukan sahaja mencemarkan kesucian agama, malah berpotensi mengguris perasaan umat Islam.

“Perbuatan ini jelas biadab dan melampaui batas. Ia bukan sahaja mencemar maruah agama, tetapi juga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, beberapa agensi telah diminta untuk menjalankan siasatan menyeluruh termasuk Majlis Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diambil terhadap individu yang terlibat. Perkara seperti ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi melibatkan kitab suci umat Islam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan bahawa insiden seumpama ini berpotensi mencetuskan ketegangan dan menjejaskan keharmonian masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya kekal tenang dan tidak bertindak di luar batas, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *